Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Selangor mencipta sejarah sebagai negeri pertama di Malaysia yang melancarkan Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor, menunjukkan komitmen padu dalam menangani cabaran perubahan iklim global.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, menekankan bahawa dasar itu adalah respons kepada krisis iklim yang semakin meruncing, termasuk banjir besar yang pernah melanda negeri ini.
“Kejadian banjir besar pada Disember 2021 menjadi peringatan bahawa risiko perubahan iklim tidak boleh diambil mudah,” katanya.
Difahamkan tragedi itu melibatkan lebih 134,000 keluarga dengan kerugian mencecah RM1 bilion.
Dasar itu turut disokong oleh kajian komprehensif melibatkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang memfokuskan kawasan seperti Kuala Selangor, Shah Alam dan Ampang.

Ia merangkumi 10 Teras Strategik, termasuk sektor tenaga, pengangkutan, perhutanan dan keterjaminan makanan.
Selangor juga akan meneroka teknologi baharu seperti Waste-to-Energy, langkah penting ke arah sifar karbon menjelang 2050.
“Kita perlu melangkaui sekadar dokumen. Pelaksanaan di semua lapisan masyarakat dan agensi adalah kunci kejayaan dasar ini,” tegasnya.
Dalam konteks global, Amirudin turut memetik keputusan 2024 United Nations Climate Change Conference (COP29) di Baku, Azerbaijan, yang memperkenalkan perjanjian baharu untuk meningkatkan pembiayaan iklim kepada negara membangun.
Namun, beliau mengingatkan bahawa cabaran sebenar memerlukan usaha yang jauh lebih besar.

“Perubahan iklim adalah tanggungjawab bersama. Kita memerlukan komitmen semua generasi agar negeri ini terus berdaya huni untuk masa depan,” ujarnya.
Beliau berucap demikian ketika melancarkan dasar tersebut bersama Kempen 16 Hari Menentang Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-kanak.
Dengan dasar ini, Selangor bukan sahaja membentuk masa depan yang mampan tetapi juga menjadi inspirasi kepada negeri-negeri lain untuk mengambil langkah serupa.
Baca juga: