Selangor Lancar Gerakan Sukarelawan SUKMA XXII, Para SUKMA 2026

SHAH ALAM: Gerakan Sukarelawan SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 dilancarkan pagi ini di Dataran Kemerdekaan Shah Alam oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, sebagai persiapan awal menjelang temasya dwitahunan terbesar negara itu.

Amirudin menekankan bahawa penganjuran kali ini amat bermakna kerana SUKMA kembali ke bumi Selangor buat kali kedua sejak tahun 1998.

Beliau menyifatkan SUKMA bukan sekadar gelanggang pertandingan tetapi wadah melahirkan disiplin, jati diri, kepimpinan dan semangat kesukanan.

“SUKMA bukan sekadar gelanggang pertandingan. Di sinilah lahirnya disiplin, jati diri, kepimpinan dan semangat kesukanan.

“Daripada pentas inilah juga ramai atlet muda negara memulakan langkah sebelum mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan tinggi bahawa edisi kali ini akan menjadi medan terbaik untuk mencungkil lebih banyak bakat baharu, seiring usaha membudayakan gaya hidup aktif demi membina masyarakat yang sihat, berdaya tahan dan progresif.

Amirudin menyeru anak-anak muda khususnya warga Selangor, tampil sebagai sukarelawan bagi menjayakan temasya berprestij itu.

“Daftar sekarang di www.selangor2026.com. Penyertaan anda bukan sahaja membantu menjayakan temasya, malah menjadikan kita sebahagian daripada sejarah besar sukan negara ini,” ujarnya.

Beliau berkata, dengan dokongan semua pihak, SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 diyakini akan berlangsung dengan penuh profesionalisme serta meninggalkan kenangan manis dalam lipatan sejarah.

Anda Mungkin Berminat