Selangor Perkemas Tindakan Undang-Undang Terhadap Rumah Ibadat Tidak Sah – Amirudin

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor akan terus mengambil tindakan berlandaskan undang-undang terhadap rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran, dengan pendekatan berhemah bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berhubung larangan pembinaan rumah ibadat secara tidak sah akan mempercepatkan pelaksanaan tindakan sedia ada di peringkat negeri.

Menurut beliau, Selangor telah lama mempunyai sistem tindakan yang tersusun menerusi Jawatankuasa Rumah Ibadat Lima Agama Selangor (LIMAS).

“Sepanjang 15 tahun lalu, kerajaan negeri bukan sahaja membenarkan rumah ibadat beroperasi di lokasi yang sesuai dan sah, malah turut melaksanakan tindakan merobohkan atau melupuskan rumah ibadat yang dibina secara tidak teratur.

“Puluhan tindakan telah diambil dan rekod berkenaan wujud sejak 2015,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Selasa.

Amirudin berkata, kerajaan negeri akan terus memperkemas kaedah pelaksanaan tindakan agar selari dengan peruntukan undang-undang serta mengambil kira sensitiviti dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.

Beliau turut memaklumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat secara langsung dalam jawatankuasa yang diselaraskan LIMAS, dengan pertimbangan terhadap pelbagai aspek termasuk status tanah, pemilikan, zon guna tanah serta kesan terhadap kawasan sekitar.

Semalam, Perdana Menteri menegaskan semua kerajaan negeri perlu mematuhi ketetapan Kerajaan Persekutuan berkaitan pembinaan rumah ibadat secara tidak sah bagi menjamin keselamatan serta kematangan negara pada masa hadapan.

Manakala hari ini pula, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan bahawa Baginda tidak berkenan aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Negeri Selangor kerana ia berpotensi menimbulkan pencemaran alam sekitar serta keresahan dalam kalangan masyarakat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat