Selangor peruntuk RM7.2 juta bantu bayar sewa rumah mangsa Putra Heights

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM7.2 juta bagi tujuan menampung sewa rumah mangsa-mangsa di Putra Heights yang terjejas dalam tragedi letupan gas Selasa lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukkan itu dianggarkan RM2,000 sebulan selama enam bulan kepada 613 isi rumah yang terjejas.

“Kerajaan negeri telah bersetuju untuk menyediakan bantuan sewa rumah sebanyak RM2,000 sebulan selama enam bulan kepada setiap keluarga yang terjejas bagi membantu mereka dengan bayaran sewa rumah sementara rumah mereka dibaiki atau dibina semula,” kata Amirudin dalam sidang akhbar di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, Amirudin mengumumkan, pemilik rumah yang musnah sepenuhnya dalam tragedi itu akan menerima bantuan tunai segera berjumlah RM10,000.

Jelasnya, jumlah sumbangan untuk rumah yang musnah sepenuhnya adalah sebanyak RM5,000 daripada Petronas yang di kawal selia sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan RM5,000 daripada Kerajaan Persekutuan.

“Ini bermakna pemilik rumah yang musnah sepenuhnya akan menerima RM10,000, manakala rumah yang terkesan dan juga penyewa akan menerima RM2,500 dari Petronas dan RM2,500 dari kerajaan Persekutuan, jadi mereka akan dapat RM5,000.

“Sumbangan segera dan bantuan kepada 219 mangsa ini akan diserahkan mulai hari ini. Kita anggarkan sehingga Jumaat, agihan bantuan ini akan selesai,” katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa berdasarkan pengamatan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat, kerugian akibat kerosakan kediaman dan struktur lain dianggarkan mencecah RM65.4 juta, termasuk kos pembaikan dan pendawaian elektrik.

“Dengan tindakan pantas bomba, kita berjaya menyelamatkan harta benda dianggarkan bernilai RM285.9 juta daripada terus musnah,” katanya.

Anda Mungkin Berminat