Selangor potong gaji Exco dan ADUN, sumbang kepada mangsa letupan gas Putra Heights

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor telah mengumumkan sumbangan sebanyak RM102,050 kepada mangsa-mangsa insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights.

Dana itu adalah hasil potongan gaji daripada Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai pentadbiran kerajaan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu adalah tanda solidariti terhadap mangsa yang terkesan.

Menurutnya, anggota pentadbiran negeri telah bersetuju menyumbang sebahagian gaji mereka bulan ini dengan jumlah potongan berbeza mengikut jawatan.

“Anggota pentadbiran awam kerajaan negeri akan membuat sumbangan daripada gaji bulan ini seperti berikut, RM1000 oleh setiap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai atasan.

“RM200 daripada setiap ADUN, RM100 daripada setiap Ahli Majlis, RM50 daripada setiap pegawai pentadbiran awam Gred 48 ke atas,” katanya.

Dengan itu Amirudin berkata, jumlah yang disumbangkan tersebut diharap dapat membantu meringankan beban dan keadaan semua yang sedang dalam proses kembali ke kehidupan masing-masing.

Pada perkembangan yang sama, beliau turut memaklumkan sebanyak 270 rumah telah disahkan selamat strukturnya dan boleh diduduki semula setelah kerja-kerja pembaikan dilaksanakan.

Tambahnya, seramai 1000 sukarelawan yang diketuai oleh SERVE dengan kerjasama Team Selangor akan turun di dua kawasan perumahan terbabit untuk menjalanlan proses pembersihan berskala perdana pada Sabtu dan Ahad ini.

Selain itu, setakat malam kelmarin, seramai 469 keluarga telah disahkan sebagai penduduk yang terkesan akibat letupan saluran gas pada hari selasa yang oleh Pejabat Daerah Petaling dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Namun katanya, angka tersebut mungkin berbeza dengan jumlah yang mendaftar dengan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu seramai 613 keluarga yang meliputi kawasan di luar daripada taman perumahan dan kampung yang terkesan.

Dalam pada itu, seramai 16 keluarga yang menduduki PPS Dewan Camelia telah ditawarkan penempatan sementara iaitu perumahan ‘homestay’ melalui kerjasama dengan Kerajaan Negeri bersama Airbnb yang bersetuju menawarkan perumahan percuma untuk tempoh selama sebulan bermula hari ini.

“PPS Dewan Camelia akan ditutup malam ini, dan petugas di Pejabat Daerah Petaling serta Jabatan Kebajikan Masyarakat akan membantu proses pemindahan penduduk dari PPS ke unit rumah yang ditawarkan Airbnb yang lebih selesa,” ujarnya.

Manakala, katanya, bagi mangsa yang ditempatkan di PPS Masjid Putra Height pula, proses pendaftaran ‘homestay’ Airbnb akan bermula malam ini dan dijangka selesai sepenuhnya pada hari Ahad untuk semua penduduk.

Anda Mungkin Berminat