Selangor Sasar Jadi Hab Aeroangkasa Serantau – MB

PETALING JAYA: Selangor menyatakan komitmen tinggi untuk muncul sebagai hab aeroangkasa serantau menerusi pembangunan Selangor Aero Park (SAP) yang terletak di KLIA Aeropolis, menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurut beliau, usaha ini diperkukuh melalui kerjasama strategik antara Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Pusat Kecemerlangan Industri Aeroangkasa Negara (NAICO), yang dimeterai sempena penganjuran International Paris Air Show (IPAS) 2025.

Katanya, inisiatif ini akan memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan melalui latihan, penyelidikan serta pembangunan kemahiran masa hadapan bagi memastikan Selangor melahirkan tenaga kerja aeroangkasa yang berdaya saing.

“Visi kami untuk Selangor Aero Park meletakkan pembangunan bakat sebagai tunjang utama strategi pertumbuhan industri.

“Penubuhan Aerospace Talent Centre dan kerjasama nasional melalui MyAERO adalah antara langkah yang bakal dilaksanakan.

“Selangor bukan sahaja melabur dalam infrastruktur, malah memberi fokus kepada pembangunan bakat muda yang bakal memacu inovasi masa depan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

SAP, yang terletak dalam kawasan KLIA Aeropolis seluas 100 kilometer persegi, mempunyai potensi besar untuk pertumbuhan dalam sektor penerbangan, logistik serta industri berteknologi tinggi.

Kelebihan SAP termasuklah kehadiran syarikat global seperti Airbus Helicopters, GE Aviation dan Spirit AeroSystems, sokongan penyelidikan bertaraf dunia serta kolaborasi erat antara pihak industri dan institusi pendidikan. Kemudahan logistik yang bersepadu dengan akses ‘bonded’ terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut memperkukuh kedudukannya.

Projek SAP dibangunkan bersama Kerajaan Negeri Selangor dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dengan matlamat menarik pelaburan dalam sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembuatan aeroangkasa, logistik serta teknologi penerbangan.

“Kerajaan Negeri berharap ini menjadi pemangkin kepada kerjasama jangka panjang dan perkembangan industri aeroangkasa negara secara menyeluruh,” katanya.

Anda Mungkin Berminat