Selangor Tegas, Arah PBT Sita Iklan Vape dan Pertimbang Larangan Jualan

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor mengambil langkah tegas dengan mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyita iklan berkaitan rokok elektronik (vape) dalam apa jua bentuk termasuk fizikal mahupun digital.

Menurut Exco Kesihatan Awam Selangor, Jamaliah Jamaluddin, tindakan itu sejajar dengan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) yang melarang pengiklanan, promosi dan penajaan produk vape.

“Kerajaan Negeri ingin memastikan setiap dasar yang diperkenalkan mengambil kira impak terhadap kesihatan awam dan generasi akan datang.

“Kerajaan negeri juga mengalu-alukan peranan aktif ibu bapa, institusi pendidikan, masyarakat sivil serta agensi berkaitan di peringkat negeri dan persekutuan dalam memastikan tindakan yang diambil benar-benar berkesan dan mampan, katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam kenyataan sama, Jamaliah memaklumkan baru-baru ini, satu mesyuarat penyelarasan berhubung cadangan tersebut telah diadakan dan dipengerusikan olehnya sendiri.

Katanya, perbincangan melibatkan pihak berkepentingan utama termasuk Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr Ummi Kalthom Shamsuddin, wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), pegawai-pegawai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan wakil-wakil PBT.

“Dalam mesyuarat tersebut beberapa isu utama diteliti termasuk cabaran penguatkuasaan dan pelesenan.

“Aspek perundangan serta pemantauan penggunaan dan penjualan dalam talian yang sukar dikawal malah sering menjadi medium utama bagi remaja mendapatkan vape,” katanya.

Jamaliah menegaskan, komitmen kerajaan negeri adalah jelas untuk melindungi kesihatan rakyat terutama golongan muda daripada bahaya vape yang semakin membimbangkan.

Anda Mungkin Berminat