Selangor Umum Elaun Latihan Amali RM1,500, Perkukuh Laluan Kerjaya Anak Muda

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor mengumumkan elaun minimum sebanyak RM1,500 sebulan bagi latihan amali di agensi negeri, anak syarikat serta pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bermula tahun depan, sebagai langkah memperkukuh laluan kerjaya anak muda.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif itu dirangka untuk mengatasi cabaran utama golongan muda yang sering berdepan pengalaman kerja terhad selain kadar elaun latihan amali yang terlalu rendah, lazimnya sekitar RM800 hingga RM900.

“Kita mahu mereka memulakan kerjaya dengan lebih yakin dan tidak terbeban dengan kos hidup yang semakin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan.

Melalui program Selangor Programme for Aspiring, Ready, and Knowledgeable Talents (SPARK), seramai 500 anak muda akan menerima manfaat ini sebagai permulaan kerjaya yang lebih stabil.

Selain itu katanya, kerajaan negeri turut memperkukuh sektor kesihatan dengan memperkenalkan Program Selangor Frontliner Apprenticeship (SELFA).

Program itu menawarkan pembiayaan untuk kursus Diploma Kejururawatan, Fisioterapi, Pengimejan Perubatan dan Teknologi Makmal di Universiti Selangor (UNISEL) dengan jaminan peluang pekerjaan di Hospital Selgate.

Dalam usaha meluaskan akses pendidikan, kerajaan negeri juga menanggung 50 peratus yuran pengajian bagi 4,000 pelajar Selangor di Universiti Islam Selangor (UIS) dan UNISEL yang melibatkan peruntukan sebanyak RM17.378 juta.

Keseluruhan inisiatif itu merupakan sebahagian daripada agenda reformasi penyampaian kerajaan negeri, yang memberi sokongan kepada rakyat sejak di bangku pengajian hingga memasuki dunia kerjaya.

Pada tahun-tahun sebelumnya, Selangor telah melaksanakan pelbagai program pendidikan dan pembangunan modal insan sebagai usaha berterusan meningkatkan kemahiran serta daya saing anak muda negeri itu.

Anda Mungkin Berminat