Selepas 17 Tahun, Maya Karin Dan Saiful Apek Bersatu Lagi Dalam Duyung: Legenda Aurora

Oleh: Aliyaa Azmi

PETALING JAYA: Selepas 17 tahun, nostalgia filem fantasi ikonik tanah air kembali menghidupkan layar perak dengan naskhah baharu berjudul Duyung: Legenda Aurora.

Filem sekuel itu bakal menemui peminat di pawagam seluruh negara bermula 25 Disember 2025, membawa semula dunia fantasi penuh warna-warni yang pernah mencuri hati penonton.

Kali ini, kisah Duyung dijanjikan bukan sahaja sarat dengan gelak tawa segar tetapi turut diperkasakan dengan aksi fantasi yang lebih mengujakan.

Terbitan bersama KRU Studios dan 8 Bit Studio dengan sokongan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi, karya arahan Datuk A. Razak Mohaideen menampilkan gandingan pelakon asal seperti Maya Karin, Saiful Apek dan Yasmin Hani.

Sekuel itu turut diperkuatkan dengan barisan pelakon baharu termasuk Anna Jobling, Ayie Floor88 serta penampilan khas Datuk Yusry Abdul Halim.

Dalam jalan cerita kali ini, Puteri Duyung (Maya Karin) memohon bantuan Jimmy (Saiful Apek) dan Aspalela (Yasmin Hani) selepas anaknya, Aurora (Anna Jobling), diculik sindiket pencuri ikan yang menggunakan pukat tunda haram.

Bersama Hamlau (Saiful Zero), Dashmond (Ayie Floor88) dan sahabat baharu mereka, Ajaq (Aniq Aqil), pencarian penuh kekacauan dan keajaiban pun bermula.

Namun cabaran semakin getir apabila Aurora dan Hamlau hanya mampu berada di darat tidak lebih enam jam.

Berlatar dunia laut dan darat yang penuh warna, perjalanan itu bukan sahaja mempertaruhkan nyawa tetapi juga cinta dan masa depan dua dunia.

Menurut Saiful Apek, sekuel itu adalah peningkatan besar berbanding filem asal.

“Ini sekuel, jadi dari sudut teknikal, semuanya lebih moden dan lebih relevan dengan 2025, 2026.

“Saya lihat dari perspektif positif, benda-benda teknikal boleh dielak, tambah sedikit kos pun tak masalah.

“Yang penting, ini produk KRU, jadi saya teruja melihat hasilnya.

“Kadang-kadang orang mungkin anggap strategi atau ‘gimmick’ tapi saya cuba tengok dari perspektif positif.

“Sejujurnya saya memang teruja tengok apa yang telah dihasilkan!” katanya.

Dengan gabungan nostalgia, teknologi moden dan sentuhan baharu, Duyung: Legenda Aurora dijangka menggegarkan pawagam seluruh negara mulai 25 Disember 2025, membawa penonton menyelami dunia fantasi yang penuh warna, keajaiban dan gelak tawa.

Anda Mungkin Berminat