Kerajaan Pulau Pinang akan berbincang kenaikan gaji penjawat awam negeri selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menaikkan 15 peratus gaji penjawat awam Persekutuan, pada Rabu.
Melalui satu hantaran di laman Facebooknya, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Jabatan Kewangan Negeri akan meneliti dan mengkaji terlebih dahulu khususnya mengenai penambahan perbelanjaan atau emolumen sebelum membuat sebarang keputusan.
“Kita perlu melihat keadaan kewangan setiap negeri. Memang kita perlu menyediakan bajet sekiranya dilaksanakan di peringkat negeri juga.
“Saya percaya akan menjadi cabaran kepada sesetengah negeri untuk menampung perbelanjaan tambahan ini,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam bermula Disember ini dengan melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.
Kerajaan jelasnya mahu memastikan gaji minimum keseluruhan penjawat awam juga melebihi RM2,000 sebulan.
Sementara itu, Kerajaan Negeri Sarawak turut dilapor sedang mengusahakan kadar baharu gaji penjawat awam negeri itu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berkata, kenaikan gaji penjawat awam negeri itu akan dilaksanakan menerusi pakej khas dan beliau menetapkan tempoh satu bulan setengah dari sekarang bagi melengkapkan kajian mengenainya.
“Seperti yang saya janjikan pada majlis Aidilfitri di Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, kita menunggu pengumuman Perdana Menteri berhubung kenaikan gaji penjawat awam Persekutuan.

“Beliau sudah mengumumkannya yang bukan sahaja kenaikan gaji sektor awam malah beliau mahu pihak swasta mengambil langkah sama dan kita di Sarawak juga sedang meneliti langkah sama,” katanya.
Abang Zohari dalam pada itu memberi bayangan bahawa kerajaan Sarawak akan menambah satu lagi pakej yang lebih baik kepada penjawat awam seiring dengan kenaikan gaji mereka.








