PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI tidak meletakkan Pilihan Raya Umum (PRU) awal sebagai keutamaan buat masa ini, sebaliknya menumpukan usaha melaksanakan agenda reformasi serta menangani masalah kos sara hidup rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun keadaan politik dan ekonomi negara kini dilihat lebih stabil berbanding sebelum ini, kerajaan masih berdepan ‘perjalanan yang panjang’ untuk memastikan reformasi benar-benar memberi kesan kepada rakyat.
“Saya memberi tumpuan kepada usaha meneruskan pelaksanaan reformasi serta mengurangkan masalah yang dihadapi rakyat khususnya kos sara hidup yang semakin tinggi,” katanya.
Anwar berkata demikian pada sesi Taklimat Perdana Menteri bersama ketua-ketua pengarang media di Kompleks Seri Perdana hari ini, ketika menjawab soalan mengenai kemungkinan mengadakan PRU lebih awal susulan sokongan yang dilihat semakin mengukuh terhadap pentadbirannya.
Menurut beliau, dua keutamaan itu akan menjadi fokus utama kerajaan bagi tahun hadapan, sambil menegaskan keyakinannya bahawa keadaan negara akan terus bertambah baik.








