KUALA LUMPUR: RHB Bank memaklumkan telah menamatkan perkhidmatan seorang kakitangannya, susulan siasatan dalaman berhubung insiden yang tular di media sosial baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di platform media sosialnya sebentar tadi, bank itu memaklumkan bahawa siasatan dalaman terhadap individu berkenaan telah selesai dan tindakan sewajarnya diambil.
“RHB telah menyelesaikan siasatan dalaman terhadap perkara ini. Individu yang terlibat tidak lagi bekerja dengan RHB berkuat kuasa 31 Oktober 2025,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
RHB dalam kenyataan sama menegaskan komitmen pihaknya untuk menegakkan standard tertinggi profesionalisme, integriti dan rasa hormat bersama dalam semua urusan melibatkan pelanggan, rakan kongsi serta warga kerja.
“Kami mengekalkan dasar tolak ansur sifar terhadap sebarang tingkah laku yang melanggar Kod Etika dan Tatakelakuan kami,” katanya.
Tindakan itu diambil selepas tular di media sosial video memperlihatkan seorang individu dipercayai kakitangan RHB berkelakuan tidak wajar terhadap pelanggan di sebuah cawangan bank tersebut. Klip berdurasi kurang daripada satu minit itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, yang mempersoalkan tahap profesionalisme pekerja berkenaan.
Susulan itu, RHB sebelum ini mengeluarkan kenyataan awal memaklumkan bahawa pihaknya sedang menjalankan siasatan dalaman terperinci dan memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku pelanggaran tatakelakuan.
Dengan keputusan siasatan yang diumumkan hari ini, bank tersebut menegaskan sekali lagi bahawa ia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran etika atau salah laku yang menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi kewangan itu.
Baca juga:








