KUALA LUMPUR: Orang ramai disaran menyemak butiran pada MyKad dan lesen memandu masing-masing bagi memastikan kelayakan tidak terjejas menjelang pelaksanaan penuh sistem subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) esok.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan berkata, analisis bersama Kementerian Pengangkutan (MoT) mendapati sebahagian lesen memandu masih menggunakan nombor lama seperti nombor polis, nombor tentera atau kad pengenalan lama, yang tidak sepadan dengan format MyKad 12 digit.
“Selain memastikan lesen masih sah, pengguna perlu memastikan nombor MyKad 12 digit digunakan dan direkod dengan betul dalam lesen memandu; nama pemegang lesen adalah tepat; serta kelas dan jenis kenderaan dinyatakan dengan betul.
“Penyelarasan ini penting kerana butiran di lesen memandu akan disemak silang dengan maklumat MyKad yang dibaca oleh terminal pembayaran di stesen minyak untuk pengesahan kelayakan,” katanya.
Sekiranya terdapat ketidakselarasan, individu terlibat diminta mengemas kini maklumat di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
MoF menegaskan, penyelarasan data antara kedua-dua kementerian akan dilakukan secara mingguan bagi memastikan rakyat tidak menghadapi masalah menikmati harga bersubsidi BUDI95.
Dalam perkembangan berkaitan, MoF memaklumkan pelaksanaan hari kedua BUDI95 berjalan lancar untuk penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Hampir 500,000 daripada keseluruhan 6.1 juta penerima STR, bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, melakukan transaksi BUDI95 di stesen minyak seluruh negara.
“Sepanjang 28 September 2025, sebanyak RM22.9 juta pembelian direkodkan bagi 11.5 juta liter petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter,” katanya.
Bermula 30 September, sistem ini diperluas kepada semua 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.
Sejak portal BUDI95 dilancarkan pada 25 September lalu, seramai 8.6 juta pengguna sudah membuat semakan kelayakan. Portal berkenaan kini dilengkapi ciri semakan sejarah transaksi yang boleh diakses menggunakan MyDigital ID.
Orang ramai boleh melayari portal rasmi BUDI95 di www.budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan 1-300-88-9595 untuk maklumat lanjut.
Baca juga: