PETALING JAYA: Kajian Semakan Semula Perundangan E-Dagang kini memasuki fasa akhir sebelum dimuktamadkan pada Ogos, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Sesi libat urus bersama pemain industri, pertubuhan pengguna dan agensi kerajaan diadakan hari ini bagi mendapatkan input terhadap kerangka perundangan e-dagang sedia ada.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, sesi ini penting untuk mengenal pasti jurang kawal selia serta memperkukuh perlindungan pengguna dan keadilan dalam urus niaga digital.
Dapatan awal kajian menunjukkan keperluan pindaan berdasarkan tiga teras utama iaitu perlindungan pengguna, keadilan urus niaga, dan kawal selia lebih menyeluruh terhadap sektor ini.
Antara isu utama yang dibangkitkan ialah cabaran platform luar negara yang tidak tertakluk kepada undang-undang tempatan, justeru cadangan kawal selia termasuk pemakaian undang-undang luar wilayah turut dikemukakan.

“Platform luar yang berniaga di Malaysia juga perlu patuh pada undang-undang kita,” tegas Armizan.
Sesi libat urus akan diteruskan di Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat sebagai sebahagian usaha menambah baik dasar e-dagang negara.
Tahun lalu, pendapatan e-dagang Malaysia mencecah RM1.18 trilion dan dijangka terus meningkat kepada RM1.65 trilion menjelang 2025, selari dengan Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang 2.0.
Baca juga:








