Semakan Tawaran Tingkatan Enam Dibuka Esok

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa semakan tawaran kemasukan ke Tingkatan Enam Semester 1 bagi tahun 2025 boleh dibuat mulai 19 Mei 2025.

KPM dalam satu kenyataan berkata, pelajar boleh menyemak tawaran mereka secara dalam talian melalui pautan rasmi sst6.moe.gov.my (https://sst6.moe.gov.my) atau di sekolah asal masing-masing.

“Bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang tidak menerima tawaran, mereka berpeluang mengemukakan rayuan bermula 19 Mei hingga 25 Mei 2025.

“Keputusan rayuan dijangka boleh disemak pada 3 Jun 2025 melalui kaedah yang sama,” menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan baharu, KPM turut memperkenalkan Program Pendidikan Tingkatan Enam di Universiti Awam yang akan bermula tahun ini.

Menurut KPM, program itu adalah hasil kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan akan dilaksanakan secara perintis di dua universiti iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Tambahnya, program itu merangkumi dua bidang pengajian utama iaitun sains dan sains sosial.

“Pelajar yang memenuhi syarat serta menerima tawaran Tingkatan Enam boleh memohon untuk mengikuti program ini antara 19 Mei hingga 25 Mei 2025.

“Keputusan permohonan akan diumumkan pada 3 Jun 2025 melalui laman sesawang sst6.moe.gov.my (https://sst6.moe.gov.my).

Sementara itu, KPM mengingatkan semua pelajar yang menerima tawaran kemasukan ke Tingkatan Enam perlu melapor diri di pusat yang dinyatakan dalam surat tawaran pada 10 Jun 2025.

Anda Mungkin Berminat