Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar menegur tindakan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang baru-baru ini mengajak UMNO kembali bermuzakarah, dengan menyifatkan ia sebagai langkah politik oportunis dan bercanggah.
Mahfuz dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, lontaran Hadi Awang itu bercanggah dengan perangai PAS sebelum ini yang selalu mengkritik UMNO dengan pelbagai tohmahan sehingga menyifatkan parti itu hilangnya identiti Islam dan sanggup tunduk kepada DAP.
“Semalam mereka menyerang, hari ini mereka mencari peluang. PAS hanya menzahirkan hasrat bermuzakarah apabila perlukan sokongan politik,” kata Mahfuz.

Kata beliau, sebelum ini PAS telah banyak mencetuskan perpecahan menerusi amalan politik takfiri, politik ketakutan dan serangan terhadap UMNO, namun kini cuba menggambarkan diri sebagai pejuang perpaduan Melayu-Islam.
Tegas beliau, seruan muzakarah yang dilaungkan itu bukan hasil keinsafan politik, sebaliknya muncul kerana PAS menyedari pengundi Melayu kembali kepada arus perdana politik, yang lebih menilai prestasi berbanding retorik semata-mata.
“Kalau benar ikhlas mahu perpaduan, hentikan budaya melabel, politik menghukum dan penggunaan agama sebagai senjata politik,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mencadangkan agar semangat muzakarah bagi mencari kebenaran dihidupkan semula sebagai jalan penyelesaian kepada kemelut perpaduan antara parti itu dengan UMNO.
Hadi menegaskan, perpaduan yang ingin dibina mestilah berasaskan model yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, bermula dengan penyatuan bangsa Arab melalui Islam dan kemanusiaan, diikuti pembentukan masyarakat majmuk yang adil.
Baca juga:








