Semangat Perpaduan Teras Kemakmuran Malaysia – PM

GEORGETOWN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Hari Malaysia bukan sekadar memperingati tarikh keramat 16 September, sebaliknya menyingkap pengorbanan generasi terdahulu yang berjuang menolak penguasaan asing demi kebebasan bermaruah.

Dalam ucapannya pada sambutan Hari Malaysia di Pulau Pinang malam tadi, beliau berkata, kemerdekaan yang dicapai lahir daripada perjuangan panjang penuh derita, darah, air mata dan keringat rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Katanya, tokoh negara seperti Tunku Abdul Rahman, Temenggung Jugah, Tun Mustapha dan Tun Fuad Stephens bersama ramai lagi pejuang terdahulu berjaya menyatukan kepelbagaian demi membentuk sebuah Malaysia yang berdaulat.

Namun, Anwar mengingatkan bahawa cabaran pasca kemerdekaan menuntut kepimpinan yang berintegriti, bukannya mengulangi kerakusan penjajah.

“Kemerdekaan sejati bukan sekadar bebas jasad, tetapi juga merdeka jiwa dan pemikiran. Ia mesti dibina dengan nilai, akhlak dan tatakelola yang baik,” katanya.

Beliau menegaskan perpaduan rakyat adalah tonggak Malaysia merdeka, dengan hak Melayu dan Bumiputera terus terjamin dalam Perlembagaan, manakala kesaksamaan peluang untuk semua rakyat menjadi asas kemajuan negara.

“Apa gunanya penjajah diusir, jika penguasa tempatan yang menggantikannya berperangai sama… tamak haloba, rakus, menghina warna kulit dan meragut kekayaan?” katanya.

Dalam ucapannya, Anwar turut menyentuh cabaran global termasuk konflik di Palestin yang memberi pengajaran tentang pentingnya perpaduan dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Hanya dengan bersatu, merapatkan jurang kaum, agama dan wilayah, kita mampu pertahankan kedaulatan negara tercinta,” katanya.

Katanya, setiap negeri kini mempunyai peranan besar terhadap pembangunan negara – Pulau Pinang dan Johor sebagai gergasi industri, Sarawak sebagai hab tenaga serantau manakala Sabah pula dengan potensi pertumbuhan tertinggi.

“Kerangka Malaysia MADANI memberi penekanan kepada kemajuan seimbang yang memacu ekonomi, teknologi dan tenaga baharu tanpa mengabaikan nilai budaya serta kemanusiaan” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat