“Semoga Kerajaan Anwar dipelihara” – Ulama Kelantan tegur usaha guling kuasa, tekankan kestabilan politik

PUTRAJAYA: Seorang tokoh ulama tersohor dari Kelantan, Tuan Guru Sheikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah, menzahirkan harapan agar kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus kekal sehingga tamat penggal pentadbiran.

Menurut beliau, kestabilan politik adalah antara kunci utama dalam menjamin kelangsungan ekonomi, pembangunan institusi agama dan kehidupan rakyat secara keseluruhan.

“Semoga kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar dipelihara. Insya-Allah segala cabaran boleh diatasi,” katanya dalam satu majlis ilmu di Masjid Putra, Putrajaya malam tadi.

Sheikh Wazir dalam masa sama turut menegur usaha segelintir pihak yang didakwa cuba menjatuhkan kerajaan melalui jalan belakang seperti perhimpunan jalanan dan provokasi awam.

“Dalam Islam, perubahan kuasa perlu melalui proses yang sah. Bukan dengan demonstrasi jalanan atau hasutan yang boleh mengganggu keharmonian rakyat,” tegasnya.

Kenyataan beliau dipercayai merujuk kepada perancangan Perikatan Nasional (PN) yang mahu menganjurkan himpunan ‘Turun Anwar’ pada 26 Julai di Kuala Lumpur. Penganjur mendakwa seramai 300,000 peserta dijangka hadir.

Bagi Sheikh Wazir, tindakan menukar kerajaan secara kerap hanya akan menjejaskan ekonomi negara, melemahkan institusi agama termasuk pondok tradisional, dan mengganggu dasar yang sedang berjalan.

“Polisi asyik tukar, pelabur pun hilang keyakinan. Sistem pondok pun tak stabil. Ini tidak selari dengan nilai Islam,” tambah beliau.

Beliau turut menyeru rakyat supaya menolak unsur kebencian dan menjaga keamanan negara dengan mengutamakan proses demokrasi yang sah.

Anda Mungkin Berminat