‘Semoga Saya Dapat Bantu Pimpinan Negara, Umat Islam’ – Ahmad Fauwaz

PETALING JAYA: Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz Fadzil Noor telah dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu bagi menggantikan Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah.

Pelantikan itu mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Dalam satu hantaran penuh penghargaan di Facebook, Ahmad Fauwaz menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda atas kurniaan pelantikan tersebut.

Beliau turut menzahirkan harapan agar dapat membantu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepimpinan negara serta umat Islam dalam memastikan perjalanan di bawah payungan Syariah Islam.

“Mudah-mudahan saya dapat membantu PMX Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, pimpinan negara dan umat Islam agar berjalan di bawah payungan Syariah Islam,” katanya.

Ahmad Fauwaz bukanlah nama asing dalam dunia keilmuan Islam di Malaysia.

Anak kepada bekas Presiden PAS, allahyarham Datuk Fadzil Noor, beliau memiliki latar belakang akademik yang kukuh dalam bidang Syariah dan Fatwa.

Beliau merupakan lulusan Universiti Al-Azhar dalam bidang Syariah Islamiah dan telah menyempurnakan Sijil Profesional Fatwa di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, Mesir.

Selain itu, beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Usul Fiqh dari Universiti Malaya serta pensijilan antarabangsa sebagai Certified Sharia Advisor and Auditor (CSAA) oleh AAOIFI.

Sepanjang kerjayanya, beliau aktif dalam pelbagai institusi termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), institusi kewangan Islam, serta badan akademik.

Kepakarannya dalam bidang usul fiqh, fiqh muamalat dan fiqh perubatan menjadikannya tokoh yang dihormati dalam membentuk dasar hukum Islam yang seimbang dan berlandaskan maqasid syariah.

Dalam hantaran sama, Ahmad Fauwaz turut mengucapkan terima kasih kepada para ulama dalam dan luar negara termasuk Sheikh Ali Qarahdaghi, Sheikh Fadlu Murad dan Sheikh Syed Syaltut yang telah memberikan penghargaan serta doa kepadanya.

Beliau juga menzahirkan rasa syukur kepada keluarga, sahabat dan kenalan yang sentiasa mendoakan kesejahteraannya.

“Terima kasih juga kepada keluarga dan para sahabat serta kenalan disayangi yang mendoakan al faqir.

“Fatwa memayungi umat,” ujar beliau yang menekankan peranan institusi fatwa dalam membimbing masyarakat.

Anda Mungkin Berminat