Semua AMK Selangor Digesa Buat Laporan Polis Isu Hina Sultan

PETALING JAYA: Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMK) Selangor mengambil langkah membuat laporan polis berhubung penyebaran satu hantaran di media sosial yang didakwa menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Naib Ketua AMK, Nabil Halimi berkata, tindakan itu dibuat selepas sebuah akaun media sosial memuat naik imej seekor khinzir berpakaian istiadat diraja yang disifatkan tidak menghormati institusi diraja negeri.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan sebuah akaun media sosial yang memuat naik imej tersebut yang jelas bertujuan menghina Sultan Selangor,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, laporan polis telah dibuat di beberapa daerah oleh Ketua AMK Selangor di cabang masing-masing sebagai tindakan segera bagi memastikan siasatan dijalankan.

“Saya telah mengarahkan setiap Ketua AMK di Selangor untuk tampil membuat laporan polis di daerah cabang masing-masing,” katanya lagi.

Nabil berkata, perbuatan itu berisiko mencetuskan ketegangan serta menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Perbuatan ini biadab dan berisiko mencetuskan ketegangan serta menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat.

“Siasatan segera dan tindakan undang-undang yang tegas harus diambil oleh pihak berkuasa termasuk PDRM dan MCMC,” katanya.

Tambah beliau, tindakan undang-undang perlu diambil bagi memastikan mana-mana pihak yang terlibat dipertanggungjawabkan sepenuhnya di bawah peruntukan undang-undang negara.

Anda Mungkin Berminat