Semua Kementerian Diarah Selaras Bantuan Segera Kepada Rakyat – KSN

PUTRAJAYA: Semua kementerian dan agensi perlu bertindak cekap dan pantas dalam menyelaras pelaksanaan pengumuman khas oleh Perdana Menteri agar manfaatnya segera dirasai rakyat, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Menurut beliau, kecekapan itu amat penting bagi memastikan bantuan yang diumumkan Kerajaan MADANI memberi kesan langsung kepada rakyat.

“Pengumuman oleh Perdana Menteri merupakan isyarat jelas bahawa negara berada di landasan yang betul di bawah kepimpinan kerajaan hari ini.

“Justeru, saya mahu pelaksanaan dilakukan dengan teratur dan segera tanpa sebarang kelewatan birokrasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri sebelum ini telah mengumumkan beberapa inisiatif utama termasuk bantuan tunai RM100 kepada semua warganegara dewasa mulai 31 Ogos, penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter dan penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya utama.

Shamsul Azri turut memaklumkan bahawa reformasi perkhidmatan awam kini membuahkan hasil positif dengan sebanyak 97 Projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) berjaya dilaksanakan setakat ini sehingga menghasilkan penjimatan kos pematuhan mencecah RM873.5 juta setahun.

Pada masa yang sama empat kementerian menerima pengiktirafan atas pelaksanaan projek reformasi berimpak tinggi termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Kementerian Kerja Raya.

Anda Mungkin Berminat