PUTRAJAYA: Semua pengendali kenderaan berat dan bas diwajibkan mengaktifkan penggunaan peranti had laju (SLD) pada kenderaan masing-masing bermula 1 Januari 2026, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Bagi kenderaan yang belum dilengkapi dengan peranti berkenaan, pemasangan wajib dilakukan selewat-lewatnya pada Julai tahun hadapan.
Menurut Loke, peranti had laju merupakan sistem kawalan yang dihubungkan terus kepada unit kawalan elektronik (ECU) kenderaan dan direka bagi mengehadkan kelajuan maksimum yang boleh dipandu.

“Pengilang kenderaan diwajibkan menyesuaikan konfigurasi SLD agar tidak melebihi had kelajuan 90 kilometer sejam (km/j), meskipun had laju di lebuh raya adalah lebih tinggi, contohnya 110 km/j. SLD tetap akan mengehadkan kelajuan kepada 90 km/j,” katanya dalam taklimat kepada media, hari ini.
Katanya, untuk laluan yang mempunyai had laju lebih rendah seperti 60 km/j, pemandu masih perlu mematuhi had laju yang ditetapkan di kawasan berkenaan.
Loke berkata, penggunaan SLD ini diwajibkan ke atas kenderaan barangan melebihi 3,500 kilogram dan kenderaan penumpang yang membawa lebih lapan orang dengan berat melebihi 5,000 kilogram yang didaftarkan sebelum 1 Januari 2015.
Ia turut terpakai ke atas kenderaan bina semula (rebuild) dan kenderaan import terpakai yang melebihi had berat yang ditetapkan.

“Bagi kenderaan yang tidak dilengkapi sistem SLD, pemasangan sistem retrofit yang diluluskan oleh JPJ adalah wajib dan perlu dilakukan di bengkel atau fasiliti servis teknikal yang diiktiraf JPJ,” katanya.
Penguatkuasaan pemasangan retrofit SLD ini akan bermula pada 1 Julai 2026, manakala penguatkuasaan pengaktifan sistem dalam ECU akan bermula 1 Januari 2026.
Loke turut memaklumkan bahawa pemantauan keberkesanan sistem ini akan dijalankan menerusi dokumen pengesahan fungsi dan laporan teknikal SLD, yang disediakan oleh pengeluar, bengkel, fasiliti teknikal atau badan pensijilan yang diiktiraf Jabatan Standard Malaysia dan diluluskan JPJ.
Dokumen itu wajib diperbaharui setiap dua tahun dan perlu dikemukakan semasa pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Bermotor (PPKM) serta ketika permohonan atau pembaharuan permit daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Pemilik kenderaan juga diwajibkan membawa dokumen tersebut setiap masa untuk tujuan penguatkuasaan oleh JPJ,” jelasnya.
Baca juga:








