Semua parti perguna agama untuk kepentingan diri – Dr Maza

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (MAZA) menegaskan bahawa agama tidak wajar dijadikan alat kempen parti politik atau untuk mempengaruhi sokongan masyarakat.

Beliau berkata, tiada mana-mana individu atau parti boleh mendakwa bahawa menyokong mereka merupakan perintah Tuhan, apatah lagi mengaitkannya dengan soal syurga dan neraka.

“Tak boleh kata sokong seseorang itu perintah Tuhan. Islam sentiasa benar, tetapi manusia tidak maksum dan boleh melakukan kesilapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan hadirin pada satu program sempena Perhimpunan Agung UMNO.

Menurut Dr Maza, kecenderungan menggunakan agama bagi mendapatkan pengaruh berlaku dalam pelbagai masyarakat dan bukan hanya dalam kalangan umat Islam, malah turut wujud dalam agama lain.

Beliau menjelaskan, keinginan terhadap kuasa dan kedudukan sering mendorong segelintir pihak mempergunakan agama demi menjaga pengaruh serta pengikut masing-masing.

“Orang politik dan orang agama sama-sama ada kecenderungan untuk mempertahankan pengaruh. Bila agama digunakan untuk kepentingan kuasa, ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.

“Kita lihat orang politik sering mencari orang agama, bukan kerana dia jujur dengan agama, tapi kerana dia berpengaruh dan kita lihat orang agama sering mencari orang politik, bukan kerana dia mahu berpolitik tetapi dia mahu memastikan kedudukan dia terjamin,

“Kalau saudara bertanya saya, parti mana mempergunakan agama, semua parti di Malaysia mempergunakan agama. PAS lakukan, UMNO juga lakukan, PKR pun lakukan,” ujarnya.

Tambah beliau, sepanjang sejarah, agama sering dieksploitasi bagi mengabsahkan kepentingan tertentu, sedangkan Islam sendiri melarang penyalahgunaan nama Allah dan Rasul bagi tujuan kepentingan peribadi atau politik.

Sehubungan itu, Dr Maza mencadangkan agar diwujudkan peraturan atau undang-undang yang lebih jelas bagi menghalang penggunaan agama sebagai alat kempen parti politik.

“Politik sepatutnya menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, bukannya mendakwa sokongan kepada sesuatu pihak sebagai tuntutan agama,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat