KUALA LUMPUR: Maybank mengumumkan bahawa semua pekerjanya di Malaysia kini menerima pendapatan melebihi paras gaji sara hidup RM3,100 sebulan, selaras dengan kadar yang ditetapkan oleh Panduan Belanjawanku Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Langkah ini juga menyahut seruan Kementerian Kewangan menerusi inisiatif GLC Earnings for a Resilient and United People (GEAR-uP), yang menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mempelopori imbuhan yang adil.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, komitmen ini sejajar dengan misi bank untuk menyediakan perkhidmatan kewangan yang berasaskan nilai, adil dan mampan.
“Kami percaya kebajikan pekerja, termasuk bayaran gaji yang adil dan berpatutan, bukan sahaja suatu keperluan moral tetapi juga pemacu kejayaan perniagaan,” katanya, memetik berita tempatan pada Isnin.
Tambah beliau, usaha menyediakan gaji kompetitif merupakan asas dalam membina tenaga kerja yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Maybank turut mencatatkan pencapaian memberangsangkan dalam Indeks Keterlibatan Mampan, dengan skor 92 peratus pada 2024, melepasi purata global syarikat berprestasi tinggi sebanyak empat peratus.
Maybank juga terus diiktiraf sebagai antara majikan terbaik di negara ini, dengan dinobatkan sebagai pemenang Keseluruhan Anugerah Pilihan Graduan (7 tahun berturut-turut) serta sebagai majikan Pilihan Utama di Malaysia oleh Anugerah Jenama GRADUAN (10 tahun berturut-turut).
Baca juga: