PARLIMEN | Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan urusan pemilikan tanah dan rumah ibadat di bawah kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) manakala kementerian berperanan sebagai pemudahcara.
Beliau berkata usaha penyelarasan agama dan rumah ibadat diuruskan oleh jawatankuasa khas bagi setiap negeri seperti Sarawak, Pulau Pinang, Selangor dan Perlis yang mempunyai pengendalian berbeza bagi setiap agama.
“Di peringkat Jabatan Perpaduan Negara, ada beberapa jawatankuasa berperanan sebagai platform mengurus dan menyelaras- contoh majlis penasihat negara (MPPN), peringkat komuniti, kita ada 571 mediator komuniti.
“Manakala bagi kes perlu jabatan bersepadu bagi agensi, isu atau insiden dirujuk kepada pihak berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan PBT,” katanya menjawab kepada Charles Santiago (PH-Klang).
Aaron turut berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak menyentuh isu 3R yang jelas melanggar undang-undang negara.
Manakala bagi soalan pelampau agama oleh Charles yang mendakwa Firdaus Wong dan Zamri Vinoth seperti mencabar kedaulatan undang-undang, Aaron berkata tindakan tegas turut diambil.
“Kerajaan pandang serius dan tindakan tegas tanpa kompromi kepada pihak mengancam ketenteraman awam.
“Walau kebebasan bersuara, tetapi tidak boleh disalahgunakan apatah lagi usu 3R, jelas bertentangan dengan undang-undang,” katanya. lagi.
Sementara itu, bagi soalan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) bahawa rumah ibadat yang dibiar bertahun-tahun oleh PBT sehingga mendapat campur tangan orang politik, walhal isu pentadbiran, Menteri berkata ia sangat dipandang serius oleh kerajaan.
“Kementerian pandang serius perbincangan yang tular berhubung isu rumah ibadat tanpa kelulusan. Ia perlu ditangani berhemah tanpa keruhkan antara kaum dan agama. Ingin ditegaskan madani tidak pandang ringan bagi menegakkan kedaulatan undang-undang menerusi perbincangan,” katanya.
Aaron turut meminta orang awam tidak membuat sebarang kenyataan provokasi atau menyebar maklumat tidak sah, sebaliknya beri ruang perbincangan kepada semua pihak.
Baca juga:







