Oleh: Hanim Nadia
SEMPORNA: Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dan ibu bapanya dipanggil polis setelah sengaja meletakkan objek berbahaya seperti paku, batu dan kayu di atas jalan raya di Kilometer 20, Jalan Semporna-Tawau pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, tindakan itu diambil selepas laporan dibuat oleh seorang individu yang menemui objek berbahaya itu sekitar pukul 7.30 pagi.
“Siasatan mendapati kanak-kanak tersebut melakukan perbuatan ini hanya untuk suka-suka.
“Ibu bapa bersama kanak-kanak terbabit kita panggil hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dan berikan nasihat supaya mengawasi anak mereka serta tidak mengulangi perbuatan itu,” katanya menerusi satu kenyataan.
Sabri berkata, kejadian itu disedari oleh seorang pengguna jalan raya yang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Tawau dan melihat beberapa objek tajam di atas jalan.
Menurutnya, pengadu bersama beberapa individu termasuk pemandu bas pelancong bertindak membuang objek tersebut bagi mengelakkan kemalangan.
“Tiada sebarang kemalangan berlaku dan pihak polis mengucapkan terima kasih kepada pengguna jalan raya yang peka serta prihatin dengan mengambil tindakan pantas sekali gus mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” tambahnya.
Terdahulu, tular video kejadian yang berdurasi satu minit 56 saat yang telah memaparkan pengguna jalan raya menemukan objek tajam di atas jalan raya.
Baca juga: