PUTRAJAYA: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa sentimen perniagaan negara bagi suku ketiga 2025 menunjukkan tanda-tanda penyederhanaan dengan petunjuk keyakinan hanya meningkat sebanyak 0.1 peratus berbanding 2.0 peratus pada suku sebelumnya.
Walaupun pertumbuhan ini kecil, ia tetap mencerminkan optimisme yang berterusan dalam kalangan pemain industri.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peniaga masih menjangkakan suasana perniagaan yang stabil dan berdaya tahan.
“Peniaga menjangkakan persekitaran perniagaan yang menyederhana pada suku ketiga 2025, disokong oleh petunjuk keyakinan positif sebanyak 0.1 peratus,” katanya.
Menurut beliau, mengikut sektor prestasi bercampur direkodkan dengan sektor Perkhidmatan kekal positif dengan peningkatan 1.5 peratus, manakala sektor Industri mencatatkan lonjakan kepada 2.2 peratus.
Sebaliknya, Mohd Uzir berkata, sektor pembinaan menunjukkan penurunan sebanyak 2.0 peratus dan perdagangan borong dan runcit merosot sebanyak 7.3 peratus.
Namun, katanya, sub-sektor perdagangan runcit kembali mencatatkan trajektori positif pada kadar 1.9 peratus, memberi sedikit harapan kepada sektor pengguna.
“Dari segi geografi, beberapa negeri menunjukkan prestasi memberangsangkan.
“Terengganu mencatatkan sentimen tertinggi sebanyak 17.1 peratus, diikuti Sabah (8.2%) dan Negeri Sembilan (6.5%).
“Sebaliknya, Pulau Pinang mengalami penurunan ketara sebanyak 14.3 peratus, Perak sebanyak 11.1 peratus dan Melaka sebanyak 8.4 peratus, menandakan cabaran yang berbeza di peringkat negeri,” katanya.
Bagi tempoh Julai hingga Disember 2025, prospek keseluruhan perniagaan kekal positif dengan imbangan bersih meningkat kepada 9.9 peratus.
Sektor perkhidmatan mencatatkan peningkatan kukuh sebanyak 19.5 peratus, diikuti pembinaan (14.5%) dan industri (11.1%).
Sektor perdagangan, borong dan runcit pula masih menunjukkan imbangan negatif sebanyak 10.5 peratus, menandakan keperluan pemulihan lebih agresif dalam sektor tersebut.
Dalam perkembangan serantau, Malaysia bakal mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15), satu langkah penting dalam memperkukuh kerjasama statistik dan perkongsian data di peringkat Asia Tenggara.
Lebih membanggakan, Malaysia mencatat sejarah apabila menduduki tempat pertama global dalam Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, melonjak daripada kedudukan ke-67 pada tahun sebelumnya dan mengatasi 197 negara lain.








