KUALA KUBU BHARU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun susulan tiga pelajar perempuan membuat laporan mendakwa mereka menjadi mangsa gangguan seksual di asrama sebuah sekolah di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Ibrahim Husin, berkata pihaknya menerima tiga laporan daripada semua mangsa berusia 16 tahun pada jam 4.16 petang semalam. Kesemua mangsa merupakan pelajar Tingkatan Empat dari kelas yang sama.
“Hasil siasatan mendapati suspek menyentuh ketiga-tiga mangsa ketika mereka sedang tidur di katil asrama,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau menjelaskan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Hulu Selangor menahan suspek pada hari yang sama, dan semakan mendapati lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Suspek kini dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu untuk permohonan reman.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau sebatan jika sabit kesalahan.
“Dengan tertangkapnya suspek ini, polis berjaya menyelesaikan kes sekali gus meningkatkan kepercayaan masyarakat kepada pihak polis.” katanya lagi.
Beliau menambah, pihak polis akan terus memantau dan mengambil langkah proaktif untuk memastikan keselamatan pelajar di asrama serta mencegah kejadian seumpama ini daripada berulang.
Baca juga:








