JENGKA: Seorang maut manakala dua cedera selepas kereta mereka naiki dipercayai terbabas di Jalan Felda Jengka 23, Bandar Pusat Jengka tengah hari tadi.
Komander Operasi, PBK I Nor Dzaini Md Zin berkata, pihak bomba menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada pukul 12.40 tengah hari.
Beliau berkata, seramai enam orang anggota daripada Balai Bomba Penyelamat Jengka digerakkan ke lokasi kejadian bersama jentera FRT.
“Terdapat tiga orang mangsa yang menaiki kenderaan jenis Perodua Myvi itu. Dua daripadanya telah tersepit di dalam kereta tersebut.
“Pasukan penyelamat segera menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit, namun seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, seorang lagi mangsa yang tersepit mengalami kecederaan, manakala mangsa ketiga yang tidak tersepit turut mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Kata Dzaini, mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.