PETALING JAYA: Seorang kru kapal warga Indonesia dilaporkan maut manakala empat lagi cedera dalam insiden kebakaran melibatkan kapal bunker barge MT 108 di perairan Tompok Utara, Johor, malam tadi.
Menurut kenyataan, Pusat Vessel Traffic Services Regional Control Centre (VTS RCC) Johor menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 9.50 malam daripada Pusat Penyelamat Maritim Wilayah Selatan (MRSC APMM), selepas seorang nelayan tempatan menghubungi pihak berkuasa dengan maklumat awal.
Semua anak kapal yang berada di atas kapal berkenaan berjaya diselamatkan oleh sebuah kapal komersial yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian.
“Semua anak kapal yang berada di atas kapal berkenaan berjaya diselamatkan oleh sebuah kapal komersial yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian,” kata kenyataan itu.
Daripada lima mangsa yang terlibat, empat dilaporkan cedera terdiri daripada seorang warganegara Malaysia dan tiga warganegara Indonesia dan kesemuanya kini sedang menerima rawatan di hospital.
“Daripada lima mangsa terlibat, empat cedera iaitu seorang warganegara Malaysia dan tiga warganegara Indonesia, yang kini sedang menerima rawatan di hospital,” menurut kenyataan itu.
Seorang lagi mangsa, juga warganegara Indonesia, disahkan meninggal dunia dan akan menjalani proses bedah siasat.
Susulan kejadian, dua aset maritim telah digerakkan ke lokasi bagi tujuan pemantauan dan sokongan operasi, iaitu kapal MV Polaris milik Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan KM Satria milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Jabatan Laut Malaysia turut menubuhkan satu pasukan siasatan khas bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta meneliti sebarang pelanggaran terhadap piawaian keselamatan sedia ada.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan proses siasatan.