GEORGE TOWN: Seorang pekerja kilang maut manakala tujuh lagi cedera parah selepas van yang membawa mereka terbabas dan merempuh bahu jalan di Jalan Mount Erskine, George Town, awal pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 6 pagi itu, van kilang berkenaan hilang kawalan sebelum tersasar dari laluan, mengakibatkan empat daripada lapan penumpang terperangkap di dalam kenderaan berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata panggilan kecemasan diterima pada 5.59 pagi, dan pasukan dari Balai Bomba Bagan Jermal serta Lebuh Pantai dikerahkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati terdapat lapan mangsa di dalam van berkenaan, termasuk empat yang terperangkap. Operasi menyelamat dijalankan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Semua mangsa berjaya dikeluarkan pada 7.17 pagi sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan dan polis untuk tindakan lanjut.
“Tujuh mangsa yang cedera parah merupakan wanita berusia antara 21 hingga 52 tahun. Seorang lagi mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, namun identitinya masih belum dikenal pasti.
“Operasi ditamatkan pada 7.50 pagi dan kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya lagi.
Baca juga:








