Seorang wanita maut, tiga kereta nahas kemalangan

Satu kemalangan maut yang dipercayai melibatkan tiga buah kenderaan telah berlaku di Jalan Pontian Lama, Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Ibrahim Mat Som, berdasarkan siasatan awal yang dijalankan, mendapati kemalangan maut tersebut melibatkan tiga buah kenderaan iaitu dua buah kenderaan dan sebuah lori.

“Kemalangan itu berlaku apabila kenderaan jenis Toyota Vios berwarna hitam telah hilang kawalan dan berpusing semasa melalui selekoh di jalan berkenaan sehingga masuk ke laluan bertentangan.

“Seterusnya, kenderaan itu telah dirempuh oleh sebuah lori jenis Isuzu yang datang dari arah bertentangan.

“Kemudian dari arah belakang, datangnya sebuah kenderaan jenis Toyota Vios berwarna coklat, tidak sempat berhenti lalu melanggar bahagian belakang lori tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Ibrahim berkata, pemandu kenderaan jenis Toyota Vios berwarna hitam merupakan seorang wanita warganegara tempatan berumur 33 tahun, disahkan maut di lokasi kejadian.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, manakala, dua mangsa lain terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Dalam pada itu, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan merbahaya. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya lagi.

Justeru itu, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan berkenaan, boleh salurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Muhammad Hafizuddin Hamdan di talian 018-5779391.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat