Sepanyol Rancang Larangan Media Sosial Bagi Bawah 16 Tahun

MADRID: Sepanyol bakal menjadi negara Eropah terbaru yang merancang melarang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada menggunakan media sosial.

“Kami akan melindungi mereka daripada ‘Wild West’ digital,” kata Perdana Menteri, Pedro Sánchez memetik laporan BBC News.

Larangan itu masih menunggu kelulusan parlimen dan termasuk langkah menjadikan syarikat bertanggungjawab atas ‘kandungan haram atau berbahaya’.

Australia sudah melaksanakan larangan sama tahun lalu, manakala Perancis, Denmark, Austria dan UK sedang menilai langkah serupa.

Sánchez berkata, media sosial kini menjadi ruang ‘ketagihan, penderaan, pornografi, manipulasi dan keganasan’.

“Kami tidak akan menerima itu lagi. Kami akan melindungi mereka,” katanya.

Undang-undang baharu akan mewajibkan sistem pengesahan umur yang berkesan, mengkriminalkan manipulasi algoritma serta menjejak bagaimana platform menyebarkan kebencian.

Ia juga membolehkan siasatan terhadap jenayah melibatkan Grok, TikTok dan Instagram.

Namun, laluan undang-undang itu dijangka sukar kerana kerajaan Sánchez tidak memiliki majoriti.

Parti konservatif menyokong tetapi Vox menentang.

Elon Musk pula mengecam Sánchez sebagai ‘pengkhianat kepada rakyat Sepanyol’.

Perancis turut memimpin usaha serupa dengan Presiden Emmanuel Macron mahu larangan bawah 15 tahun dilaksanakan menjelang September.

Anda Mungkin Berminat