Separuh Rakyat Argentina Guna Simpanan dan Pinjaman Tampung Keperluan Asas

BUENOS AIRES: Hampir separuh rakyat negara Argentina dilaporkan menggunakan simpanan, menjual barangan atau meminjam wang daripada bank dan ahli keluarga untuk menampung perbelanjaan asas.

Berdasarkan laporan oleh Fundacion Pensar, 63 peratus rakyat Argentina mengurangkan aktiviti atau perkhidmatan bagi memastikan kelangsungan hidup.

Ahli sosiologi dan penyelidik Argentina Grande Institute, Violeta Carrera Pereyra, berkata keadaan semasa amat membimbangkan kerana golongan yang mempunyai satu atau beberapa pekerjaan tetap juga terpaksa membuat pinjaman bukan untuk membeli rumah atau kereta, sebaliknya untuk membeli makanan.

Diego Nacasio, 43, yang bekerja sepenuh masa sebagai jurujual di sebuah kedai perkakasan besar di Florencio Varela, pinggir Buenos Aires, berkata menjelang sekitar 15 hari pertama, gaji dia dan isterinya yang turut bekerja sepenuh masa di sebuah kedai sudah habis digunakan.

Selebihnya, mereka terpaksa mencari kerja sambilan, menjual barangan, menggunakan kad kredit serta membuat pinjaman kecil bagi menampung keperluan asas termasuk makanan sehingga gaji seterusnya diterima.

“Saya tidak pernah mengalami keadaan seperti ini.

“Sepanjang 25 tahun lalu, kami bekerja keras. Kami mampu membina rumah sendiri, membeli kereta dan memberi kehidupan yang baik kepada anak lelaki kami yang kini berusia 17 tahun. Sekarang, walaupun pekerjaan kami lebih baik daripada dahulu, kami masih tidak mampu membeli makanan untuk sebulan penuh,” katanya, seperti dipetik Al Jazeera pada Rabu.

Nacasio berkata, kebergantungan kepada kredit mewujudkan kitaran berbahaya kerana mudah untuk tertunggak bayaran dan akhirnya terperangkap dalam beban hutang berpanjangan.

“Kebanyakan orang yang saya kenal berada dalam situasi sama. Kami hidup dalam tekanan dan kebimbangan berterusan, seolah-olah tiada jalan keluar,” ujarnya.

Terdahulu, Presiden Argentina, Javier Milei, yang memegang jawatan sejak Disember 2023, menegaskan pelan ekonomi berjimat cermat yang diperkenalkannya berjaya memulihkan ekonomi dan mengeluarkan jutaan rakyat daripada kemiskinan.

Pelan tersebut memberi tumpuan kepada keseimbangan fiskal dan peningkatan rizab mata wang Amerika Syarikat melalui pemotongan besar perbelanjaan awam. Beliau turut mendapat sokongan International Monetary Fund (IMF), yang mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Argentina sebanyak empat peratus pada 2026 dan 2027.

Namun, data terkini menunjukkan gambaran lebih kompleks.

Inflasi kekal menjadi faktor utama dalam ekonomi Argentina, terutama bagi memastikan akses kepada pinjaman asing.

Walaupun pelan ekonomi “kejutan” Milei berjaya menurunkan kadar inflasi daripada paras tertinggi ketika beliau mula memegang jawatan, pakar berpendapat beberapa langkah kontroversi diambil untuk mengekalkannya pada tahap rendah.

Antaranya termasuk mengekalkan gaji pada kadar lebih rendah daripada inflasi serta membuka pasaran kepada import lebih murah. Langkah ini menyebabkan ramai kehilangan kuasa beli dan memaksa ribuan kilang serta perniagaan kecil gulung tikar.

Pengkritik juga mendakwa angka inflasi rasmi tidak mencerminkan turun naik harga sebenar. Indeks bakul barangan yang digunakan untuk mengukur inflasi dibangunkan pada 2004 dan tidak lagi menggambarkan corak perbelanjaan semasa, khususnya kos elektrik dan bahan api yang meningkat jauh lebih tinggi berbanding kadar inflasi rasmi.

Bagi ramai rakyat Argentina, kehidupan harian kini ibarat laluan berhalangan. Mereka terpaksa mengimbangi beberapa pekerjaan, menjual barangan terpakai seperti pakaian, meminjam daripada keluarga, mendapatkan pinjaman tidak formal serta memburu harga murah untuk terus bertahan.

Seorang guru dan aktivis kesatuan sekerja, Veronica Malfitano, 43, berkata pendapatannya dipotong sebanyak satu perempat selepas kerajaan mengurangkan perbelanjaan awam.

“Membeli makanan kini seperti satu pekerjaan,” katanya.

“Saya bergabung dengan saudara-mara atau rakan sekerja untuk membeli secara pukal. Saya menggunakan kad kredit atau membuat pinjaman kecil. Bulan ini, buat pertama kali, saya hanya mampu membayar jumlah minimum kad kredit, sesuatu yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini. Ia amat menekan. Hampir semua orang yang saya kenal berada dalam keadaan sama,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat