Penyerang Balai Polis Ulu Tiram pada pagi Jumaat dipercayai bertindak bersendirian dan tidak terbabit dengan mana-mana kumpulan terancang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hasil siasatan awal itu dibuat selepas polis selesai menemu bual 46 individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan itu.
Menurut beliau, individu yang diambil keterangan itu disiasat sama ada mempunyai kaitan dengan rangkaian kumpulan fahaman Jemaah Islamiah atau tidak.
“Hasil dapatan daripada maklumat yang diperolehi daripada hasil siasatan ke atas individu ini, pasukan Polis Diraja Malaysia Diraja Malaysia (PDRM) mendapati suspek yang melakukan serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram bertindak sendirian atau secara ‘lone wolf’.
“Serangan ke atas balai polis itu adalah dilakukan sendirian bukan melibat satu organisasi besar yang boleh dikaitkan dengan (gerakan) Jemaah Islamiah ini yang boleh mengancam keselamatan awam,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, pada Sabtu.
Saifuddin berkata, bagaimana kesemua individu yang diambil keterangan itu dilepaskan dan hanya keluarga terdekat suspek sahaja ditahan untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, media melaporkan serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada awal pagi Jumaat, yang mengorbankan dua anggota polis serta suspek penyerang dilakukan anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain melaporkan suspek yang berusia 21 tahun yang ditembak mati di tempat kejadian, sememangnya telah merancang dan melakukan serangan untuk mendapatkan senjata api yang disimpan di balai polis berkenaan.
Baca juga: