Serangan Israel di hospital Gaza bunuh pemimpin kanan, pembantu

GAZA: Sebuah serangan udara Israel di hospital di Gaza telah mengorbankan seorang pemimpin kanan Hamas, Ismail Barhoum, yang juga merupakan ketua hal ehwal kewangan kumpulan itu serta pembantunya.

Memetik laporan BBC, Barhoum dikatakan sedang menerima rawatan di hospital tersebut selepas cedera dalam serangan udara beberapa hari sebelumnya.

Tentera Israel berkata, serangan itu menyasarkan seorang anggota utama Hamas yang beroperasi di kawasan hospital itu dengan menggunakan ‘peluru berpandu tepat’ untuk mengurangkan kerosakan sampingan.

Kementerian Kesihatan yang dikendalikan oleh Hamas melaporkan bahawa ramai yang lain termasuk kakitangan perubatan turut cedera dalam serangan itu.

Bahagian hospital yang terjejas juga telah dipindahkan selepas sebahagian besar bangunan musnah.

Israel mendakwa Hamas menggunakan hospital sebagai tempat persembunyian dan pusat komando, namun tuduhan itu dinafikan oleh Hamas.

Serangan tersebut berlaku di tengah-tengah konflik yang lebih besar antara Israel dan Hamas yang bermula pada Oktober 2023 selepas serangan besar-besaran oleh Hamas di Israel.

Konflik itu telah mengakibatkan puluhan ribu kematian.

Anda Mungkin Berminat