LEBANON: Israel meneruskan serangan ke atas selatan Lubnan meskipun terdapat perjanjian gencatan senjata dengan kumpulan bersenjata Hezbollah yang dimeterai pada November.
Memetik laporan Al Jazeera, dalam insiden terbaru, tiga orang terbunuh akibat serangan udara Israel ke atas beberapa kenderaan.
Kementerian Kesihatan Awam Lubnan memaklumkan bahawa satu serangan dron ke atas sebuah kereta di kampung Kunin telah meragut satu nyawa, manakala dua lagi terkorban selepas serangan ke atas sebuah motosikal di Mahrouna, berhampiran Tyre.
Tentera Israel mendakwa serangan ke atas kereta itu berjaya “menghapuskan pengganas Hassan Muhammad Hammoudi”, yang didakwa terlibat dalam serangan peluru berpandu antikereta kebal ke atas wilayah Israel.
Sehari sebelum itu, Israel turut membunuh seorang wanita dan mencederakan 25 orang dalam beberapa serangan ke seluruh selatan Lubnan.
Agensi Berita Nasional Lubnan melaporkan bahawa wanita tersebut terbunuh akibat serangan dron ke atas sebuah apartmen di bandar Nabatieh.
Tentera Israel menafikan menyasarkan bangunan awam dan mendakwa wanita berkenaan terbunuh akibat peluru berpandu Hezbollah yang meletup selepas terkena serangan mereka.
Walaupun terdapat perjanjian gencatan senjata, Israel masih mengekalkan tentera di lima lokasi di selatan Lubnan.
Presiden Lubnan, Joseph Aoun, menuduh Israel melanggar perjanjian yang diusahakan oleh Amerika Syarikat, yang menuntut pengunduran penuh tentera Israel dan penempatan tentera Lubnan serta pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).