Serangan Israel Ke Atas Qatar Langgar Piagam PBB – PKR

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel yang melancarkan serangan ke atas ibu negara Qatar, Doha, baru-baru ini, dengan menyifatkannya sebagai pencerobohan ketenteraan terhadap sebuah negara berdaulat dan satu bentuk keganasan antarabangsa.

Menurut Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa PKR, Dr Maszlee Malik, serangan tersebut merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap prinsip asas undang-undang antarabangsa yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Prinsip kedaulatan negara adalah asas utama dalam undang-undang antarabangsa.

“Serangan Israel terhadap Qatar merupakan pelanggaran hak kedaulatan yang dijamin Piagam PBB serta Konvensyen Montevideo 1933,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Maszlee turut merujuk Artikel 2(4) Piagam PBB yang melarang mana-mana negara anggota daripada menggunakan kekerasan terhadap kedaulatan negara lain, menegaskan bahawa tindakan Israel jelas mencabuli peruntukan tersebut.

Beliau menyifatkan insiden itu sebagai bukti berterusan bahawa rejim Zionis Israel merupakan ancaman serius terhadap keamanan global dan kestabilan politik serantau.

Sehubungan itu, PKR menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) agar segera mengadakan sidang tergempar untuk menyelar tindakan Israel dan menyelaras langkah diplomatik, politik serta ekonomi bagi memberi tekanan kepada rejim Zionis.

Parti itu turut menyeru agar Perhimpunan Agung PBB (UNGA) mengambil tindakan lebih tegas termasuk mempertimbangkan penggantungan keahlian Israel sebagai langkah yang pernah dikenakan terhadap rejim apartheid Afrika Selatan suatu ketika dahulu.

“Malaysia bersama masyarakat antarabangsa mesti berdiri teguh menentang kezaliman Israel, mempertahankan hak rakyat Palestin serta menegakkan prinsip undang-undang antarabangsa,” tegas Maszlee.

Anda Mungkin Berminat