PARLIMEN | Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa kecewa dan amaran tegas terhadap insiden serangan yang menimpa anak kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Dalam ucapan di Dewan Rakyat hari ini, Anwar berkata, budaya negatif seperti buli dan serangan peribadi kini bukan sahaja menyasarkan individu, malah telah mula menjangkau kepada ahli keluarga pemimpin negara.
“Sudah ada budaya yang agak melampau dalam negara kita.
“Selain daripada kes buli dan kematian sebelum ini, kini anak Ahli Parlimen Pandan pula menjadi sasaran serangan,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa telah menghubungi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus.
“Saya beri jaminan bahawa seperti yang dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara, mereka akan bertindak segera, pantas dan secara telus bukan sahaja untuk mengambil tindakan tetapi juga bagi menghentikan budaya jahat ini daripada terus merebak,” tegas beliau.
Anwar berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk keganasan, ancaman atau serangan yang menyasarkan mana-mana individu, lebih-lebih lagi kanak-kanak dan keluarga pemimpin.
Terdahulu, anak Rafizi yang berusia 12 tahun dilaporkan telah diserang dengan suntikan jarum oleh dua individu yang tidak dikenali di salah sebuah pusat membeli-belah di Putrajaya pada Rabu.