PETALING JAYA: Seramai 21 ahli parlimen (Backbenchers) Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap anak Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, di Putrajaya pada 13 Ogos lalu yang disifatkan sebagai tindakan pengecut dan menggugat keselamatan awam.
Kumpulan itu berkata serangan itu dilihat sebagai cubaan menakut-nakutkan seorang pemimpin yang lantang memperjuangkan kebenaran.
“Serangan ini bukan sahaja cubaan menakut-nakutkan seorang pemimpin rakyat, tetapi juga satu bentuk keganasan yang melampaui batas kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan di sidang media pada Khamis.
Tambah kenyataan itu, dalam negara demokrasi, sebarang perbezaan pendapat tidak wajar diselesaikan melalui ancaman atau kekerasan, apatah lagi melibatkan kanak-kanak.
“Kami menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa undang-undang mesti ditegakkan tanpa kompromi. Tiada sesiapa pun boleh terlepas daripada tindakan tegas sekiranya terbukti terlibat,” katanya lagi.
Backbenchers PKR juga menyambut gesaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, supaya siasatan dijalankan secara menyeluruh, cepat dan telus bagi membawa pelaku ke muka pengadilan.
“Kami menyeru Polis Diraja Malaysia memanfaatkan segala aset dan kepakaran bagi memburu pelaku serta dalang di sebalik serangan ini. Keselamatan pemimpin rakyat dan seluruh warga negara harus sentiasa dijamin,” katanya.
Baca juga: