Serangan Udara Israel Di Gaza Ragut 28 Nyawa

GAZA: Serangan udara Israel di beberapa lokasi di Gaza pada Rabu mengorbankan sekurang-kurangnya 28 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 77 orang, sekali gus mencetuskan kebimbangan besar terhadap keberlangsungan gencatan senjata yang dimeterai sebulan lalu.

Menurut pihak berkuasa Gaza, serangan menyasarkan kawasan al-Mawasi berhampiran Khan Younis, persimpangan di Shujayea yang dipenuhi keluarga pelarian serta sebuah bangunan di Zeitoun, Gaza City.

Hospital-hospital utama termasuk al-Ahli dan al-Shifa menerima puluhan mangsa dalam keadaan kritikal, menambah tekanan terhadap sistem kesihatan yang sudah lumpuh.

Tentera Israel (IDF) mendakwa serangan itu dilakukan selepas ‘beberapa pengganas’ melepaskan tembakan ke arah anggota mereka di Khan Younis.

Walaupun tiada tentera Israel cedera, IDF menegaskan tindakan itu sebagai pelanggaran gencatan senjata.

Hamas bagaimanapun mengecam serangan tersebut sebagai ‘eskalasi berbahaya’, menolak penjelasan Israel dan menuduh Tel Aviv cuba ‘menghalalkan jenayah berterusan’ terhadap rakyat Palestin.

Serangan terbaru itu berlaku hanya beberapa hari selepas Majlis Keselamatan PBB menyokong pelan Presiden AS Donald Trump untuk memperkukuh gencatan senjata dan memulakan proses pembinaan semula Gaza.

Namun, pejabat media Gaza mendakwa Israel telah melakukan lebih 393 pelanggaran gencatan senjata sejak ia berkuat kuasa dengan jumlah korban keseluruhan mencecah 280 orang terbunuh dan 672 cedera.

Sejak konflik bermula pada Oktober 2023, angka korban di Gaza terus meningkat dengan lebih 69,000 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 170,000 cedera, manakala serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 mengorbankan 1,139 orang di Israel serta menyebabkan kira-kira 200 orang ditawan.

Selain Gaza, Israel turut melancarkan serangan udara ke selatan Lebanon pada hari sama, mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang, menandakan risiko meluasnya konflik ke sempadan serantau.

Anda Mungkin Berminat