GAZA: Serangan udara terbaru Israel ke atas Hospital Eropah di Khan Younis, Gaza telah meragut sekurang-kurangnya 28 nyawa dan mencederakan puluhan lagi, menurut jurucakap agensi pertahanan awam yang dikendalikan Hamas.
Memetik laporan BBC, serangan itu berlaku apabila enam bom dijatuhkan serentak oleh pesawat perang Israel yang menyasarkan halaman dalam hospital serta kawasan sekitarnya.
Tanpa rasa bersalah, tentera Israel mendakwa serangan itu merupakan “serangan tepat” ke atas “pengganas Hamas pegawai pusat kawalan dan arahan” yang didakwa berada di bawah hospital tersebut.
Seorang wartawan lapangan yang bekerja untuk BBC di Gaza turut cedera dalam serangan udara tersebut dan kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan.
Kesan serangan itu menyebabkan beberapa kawah besar terbentuk di dalam kawasan hospital sehingga menimbus beberapa kenderaan termasuk sebahagian daripada sebuah bas besar.
Saksi mata melaporkan bahawa dron Israel mengawal ketat ruang udara hospital dan menghalang pasukan penyelamat daripada sampai ke lokasi.
Seorang jurugambar bebas Palestin, Hassan Aslih yang sedang dirawat akibat serangan udara sebelumnya, dilaporkan terbunuh dalam serangan terbaru itu.
Beliau telah berada di hospital tersebut hampir sebulan selepas terselamat dalam serangan udara yang sama pada bulan April.
Mangsa yang terkorban dan cedera telah dipindahkan ke Hospital Nasser di Khan Younis, di mana pasukan perubatan dilaporkan bergelut untuk menangani jumlah mangsa yang ramai.
Serangan itu berlaku selepas hospital tersebut telah diserang sebelumnya dengan dua orang terbunuh dalam serangan udara yang menyasarkan sayap pembedahan hospital.