Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah masih mengenang Kembara Kenali Borneo yang telah dilaksanakan empat bulan lalu selain masih mendengarkan lagu yang sering dialunkan di sana.
Setiausaha Sulit Kanan kepada YDPA, Datuk Nazim Mohd Alim berkata, lagu Bekikis di Bulu Betis dan Hanya di Sabah masih lagi didengarkan oleh baginda sehingga kini.
“Tuanku masih terkenang-kenang Kembara Kenali Borneo kerana masih melihat video yang dirakamkan, dan lagu-lagu yang dimainkan di sana turut didengari baginda sehingga kini,” katanya.
Terdahulu, Seri Paduka memulakan Kembara Kenali Borneo yang berlangsung selama 11 hari bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandarian serta paduka anakanda.
YDPA memulakan konvoi dengan memandu sendiri kenderaan jenis pacuan empat roda dengan mengharungi perjalanan sejauh 2,332 kilometer merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei.
Ia turut memberi peluang kepada rakyat Sabah dan Sarawak untuk mendekati dengan Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah dan anakanda baginda.
Nazim turut berkata, Al-Sultan Abdullah menitahkan sendiri Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah membuat persembahan pada Majlis Santapan Malam Sempena Memuliakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262 pada Oktober tahun lepas sebagai tanda kasih dan rindunya kepada rakyat Sabah.
Baca juga: