Seruan Anwar Disokong, Perpaduan Pasca Pemilihan Demi Kesejahteraan Rakyat

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Langat, Mohd Afiq Mohd Tuniman menyokong penuh seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar semua calon dan perwakilan kembali bersatu selepas pemilihan pusat parti.

Menurut beliau, kesatuan selepas pertandingan adalah tunjang kekuatan sesebuah parti politik.

“Dalam setiap proses demokrasi pemilihan parti, pasti ada perbezaan pandangan namun perpaduan selepas pertandingan adalah kunci utama kekuatan sesebuah parti politik,” katanya kepada Malaysia Bangkit ketika dihubungi.

Afiq yang juga Pengarah Komunikasi PKR Selangor mengingatkan bahawa PKR terbina atas semangat reformasi dan perpaduan dalam memperjuangkan keadilan rakyat.

“Amat penting bagi semua pimpinan parti, tidak kira yang menang atau kalah untuk kembali bersatu bagi mencapai matlamat lebih besar iaitu kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Anwar selaku pemimpin utama negara dan parti, memiliki kebijaksanaan tinggi dalam menyatukan kepimpinan selepas pemilihan.

“Pemilihan ini hanyalah bersifat kekeluargaan dalam kita memilih pimpinan baru untuk memacu parti mengorak langkah dengan lebih gagah dan kuat bagi menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Afiq berharap semua calon menerima keputusan pemilihan dengan hati terbuka dan sikap berlapang dada.

“Sikap ini bukan sahaja mencerminkan kematangan politik tetapi juga menjadi contoh terbaik kepada anggota parti yang lain dan masyarakat umum,” katanya.

Beliau turut menyifatkan seruan Anwar sebagai permulaan baharu bagi PKR untuk memperkukuhkan kesatuan dalam menghadapi cabaran politik dan pentadbiran negara.

“Untuk bergerak ke hadapan, menjadikan perpaduan sebagai asas kekuatan dalam menghadapi cabaran politik dan pentadbiran negara di masa depan,” ujar beliau.

Anda Mungkin Berminat