Sesi Persekolahan 2026 Kembali Ke Januari – Menteri

PETALING JAYA: Selepas beberapa tahun mengalami perubahan jadual akibat pandemik, sesi persekolahan bagi tahun 2026 akan kembali bermula pada bulan Januari, satu langkah yang disambut baik oleh warga pendidikan dan ibu bapa di seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan bahawa sesi persekolahan bagi semua sekolah kebangsaan dan sekolah bantuan kerajaan akan bermula pada 11 Januari hingga 31 Disember bagi negeri Kumpulan A, manakala negeri Kumpulan B akan memulakan sesi pada 12 Januari hingga 31 Disember 2026.

Menurut beliau, peralihan semula kepada kitaran akademik bermula Januari dilaksanakan secara berperingkat dan teratur dengan mengambil kira kelancaran operasi institusi pendidikan.

“Langkah ini hasil perancangan rapi serta komitmen berterusan warga pendidikan di semua peringkat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Fadhlina berkata, keputusan itu mencerminkan keazaman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk terus mengutamakan kesejahteraan murid, guru dan seluruh komuniti pendidikan.

Anda Mungkin Berminat