PETALING JAYA: Sesi persekolahan di seluruh negara masih berjalan seperti biasa dan setakat ini tiada keputusan dibuat untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), kata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan.
KPM berkata, pihaknya mengambil maklum kegusaran masyarakat berhubung berita tular mengenai kemungkinan pelaksanaan PdPR.
“Kementerian Pendidikan prihatin terhadap semua kebimbangan yang dibangkitkan masyarakat berkaitan perkara tersebut.
“Pada masa ini, sesi persekolahan berlangsung seperti biasa dan tiada sebarang ketetapan dibuat mengenai pelaksanaan PdPR,” katanya.
KPM berkata, keutamaan pihaknya adalah memastikan proses pembelajaran murid tidak terjejas, di samping menjaga kebajikan serta kesejahteraan semua pihak yang terlibat dalam sistem pendidikan negara.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh dilaporkan berkata, KPM akan meneliti secara menyeluruh pelaksanaan PdPR bagi memastikan keputusan yang dibuat mengambil kira kepentingan warga pendidik, ibu bapa dan murid.
Terdahulu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menyatakan bahawa pengaturan kerja fleksibel termasuk bekerja dari rumah (BDR) dilihat sebagai langkah penting bagi memastikan kesinambungan operasi kerajaan dalam menghadapi dunia yang semakin tidak menentu akibat konflik geopolitik, bencana atau krisis kesihatan awam.
Ketegangan di Asia Barat semakin meruncing sejak 28 Februari susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan global.








