(KEMASKINI) GAGAL cipta kejutan. Percaturan regu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah tidak menjadi setelah tewas dalam aksi separuh akhir menentang gandingan nombor satu dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan pada petang Jumaat.
Set pertama, pasangan negara kelihatan gugup pada awal perlawanan apabila ketinggalan 10-4, sebelum pasangan China yang juga pemegang pingat perak sebelum ini menggunakan kelemahan itu bagi mengutip mata kemenangan 21-12.
Set kedua, pasangan negara menunjukkan corak permainan lebih kemas sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan setelah menang 21-18.
Seterusnya, di set penentuan, permainan agresif Qing Chen-Yi Fan membolehkan mereka mematikan bulu tangkis 21-15 selepas berhempas pulas 74 minit di atas gelanggang.
Namun, kekalahan itu tidak bermakna perjuangan pasangan muda negara terhenti disitu.
Pasangan negara masih mempunyai peluang mencari kilauan pingat pertama dalam temasya itu pada perlawanan penentuan pingat gangsa menentang pasangan dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida yang dijadualkan esok.