Setiap Sen Peruntukan Masyarakat India Akan Diurus Dengan Integriti

KUALA LUMPUR : Empat inisiatif baharu bernilai RM40 juta bagi memperkasakan komuniti India akan dilaksanakan dengan pantas, telus dan efisien, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan.

Beliau menegaskan setiap sen peruntukan akan diurus dengan penuh integriti supaya manfaatnya sampai terus kepada penerima sasaran tanpa sebarang kerenah birokrasi.

“Komitmen kerajaan adalah jelas, iaitu memastikan komuniti India tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara. Setiap sen peruntukan akan diurus dengan penuh integriti supaya sampai ke tangan penerima sasaran dan memberikan impak berkekalan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Empat inisiatif berkenaan diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Parlimen pada 19 Ogos lalu, iaitu: Penaiktarafan prasarana, kemudahan awam dan keselamatan kampung India (RM5 juta); penambahan peralatan makmal ICT di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (RM5 juta); Pemerkasaan rumah ibadat Hindu sebagai pusat komuniti setempat melalui Program Dharma Madani (RM20 juta) dan Penambahbaikan dan penyelenggaraan kecil kediaman pekerja ladang (RM10 juta).

Menurut Ramanan, pelaksanaan empat inisiatif itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Inisiatif Masyarakat India (Mitra) yang dipengerusikan perdana menteri di Parlimen hari ini.

“Fokus utama kami ialah memastikan masyarakat India, khususnya golongan B40, benar-benar menerima manfaat secara langsung,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat