Setpol Zaliha nafi dakwaan UMNO diketepi di Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Nor Azrina Surip, menafikan dakwaan kononnya UMNO diketepikan daripada berperanan dalam pentadbiran Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata demikian sebagai respons balas terhadap kenyataan terbuka Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Haji Gulam Muszaffar Shah Gulam Mustakim, yang sebelum ini mendakwa UMNO tidak diberi ruang untuk berperanan di Wilayah Persekutuan.

Nor Azrina menegaskan tuduhan itu tidak berasaskan realiti pentadbiran dan boleh mengelirukan rakyat serta menjejaskan usaha keterangkuman Kerajaan MADANI.

“Pelaksanaan dasar dan program di Wilayah Persekutuan melibatkan pelbagai pihak termasuk UMNO. Ia mungkin tidak dizahirkan dalam bentuk program politik kepartian, tetapi hakikatnya penglibatan itu berlaku atas prinsip muafakat.

‘“Beberapa pemimpin UMNO dan Barisan Nasional turut dilantik ke agensi strategik seperti Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Perbadanan Putrajaya (PPj), Perbadanan Labuan (PL) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP)’ katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Menurutnya, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, adalah ahli tetap Majlis Menteri Wilayah, forum tertinggi dasar yang bersidang dua kali setahun.

“Garis panduan pelantikan Majlis Perwakilan Penduduk (MPPWP) juga sudah diperkemaskan agar kuota minimum untuk wakil Barisan Nasional diperuntukkan di setiap subzon,” katanya.
Nor Azrina turut menegaskan peruntukan khas Menteri terbuka kepada semua tanpa mengira fahaman politik, termasuk NGO yang diketuai aktivis UMNO, asalkan cadangan yang dibawa memberi manfaat kepada rakyat.

“Apa yang lebih utama bukan perjuangan individu, tetapi perjuangan memastikan manfaat rakyat dipenuhi. Tidak wajar isu pengurusan bazar Ramadan dijadikan alasan untuk menafikan hakikat sebenar,” katanya.

Anda Mungkin Berminat