Pembatalan filem seram terbitan rumah produksi Indonesia, Siksa Neraka mengundang perdebatan dalam kalangan peminat yang berpendapat naskhah tersebut dapat mewujudkan rasa insaf dalam diri penonton.
Bagaimanapun, difahamkan filem tersebut dilarang tayangan di Malaysia kerana dikatakan bertentang dengan ajaran agama Islam yang melarang tindakan menggambarkan perkara ghaib.
Menurut Pensyarah Bidang Komunikasi Islam, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Muhammad Taufik Md Sharipp, menjelaskan bahawa kebanyakan ulama melarang representasi seksaan neraka dalam media.
Katanya, tidak dinafikan perbuatan menyebarkan dakwah tentang pengajaran agama Islam dibenarkan, namun perlu berpada-pada agar tidak bertentangan dengan ajaran dalam Al-Quran.
“Keadaan syurga, neraka dan alam barzakh semuanya perkara Ghaibiyyat iaitu perkara ghaib yang hanya dijelaskan atau dapat diketahui melalui Al-Quran dan Al-Sunnah.
“Bahkan terdapat juga penjelasan dalam Al-Quran yang mengatakan tentang larangan perbuatan itu dalam Al-Quran menerusi surah al-Naml ayat 65, bermaksud, tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara ghaib melainkan Allah,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau sepandapat untuk melarang tayangan filem berkenaan kerana bimbang akan menimbulkan salah faham dan kemudaratan berbanding perkara bermanfaat.
“Mungkin manfaatnya hanya satu iaitu menginsafkan penonton, tetapi kemudaratannya lebih banyak. Perkara pertama, akan membuatkan orang berfikir semua perkara ghaib boleh digambarkan seperti malaikat dan lain-lain.
“Ini juga membuka ruang buat orang sama ada Islam atau bukan Islam untuk mempersendakan azab Allah jika representasi azab tersebut tidak mencapai gambaran sebenar azab Allah, sedangka lebih 50 ayat Al-Quran menyatakan azab seksa-Nya yang tidak terperi (tidak dapat digambarkan),” ujarnya.
Katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga mengeluarkan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam pada tahun 2015.
“Dalam Perkara 13 menyatakan, tidak melakonkan atau menggambarkan sebarang ilustrasi atau watak para nabi, malaikat, syaitan dan perkara-perkara Sam’iyyat (perkara yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar) dan Ghaibiyyat’ (ghaib).
“Penjelasan JAKIM sudah jelas menunjukkan bahawa kandungan filem Siksa Neraka ini tidak boleh ditayangkan di Malaysia,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta agar pembikin filem agar membuat rujukan dan penelitian dengan golongan pakar terlebih dahulu sebelum menghasilkan sesebuah karya melibatkan ajaran agama Islam.
Perkara itu dapat mengelakkan daripada perkara negatif seperti penyampai mesej yang salah atau perkara yang tidak benar tentang Islam sehingga mewujudkan salah faham.
“Saya lihat penghasilan filem dan drama menceritakan tentang perubatan Islam, produksi akan terlebih dahulu meminta pendapat daripada mereka yang aktif dengan aktiviti rawatan Islam.
“Begitu juga dengan karya berbentuk kerohanian. Mereka perlu mendapat rujukan daripada pihak yang betul kerana industri kreatif juga merupakan satu medium dakwah yang baik kepada masyarakat sekiranya menepati prinsip Islam,” katanya.
Untuk info, berita tentang pembatalan tayangan filem Siksa Neraka di Malaysia dan Brunei itu dimaklumkan oleh Antenna Entertainments di Instagram yang bertindak selaku pengedar.
Filem tersebut memulakan tayangan di Indonesia pada 14 Disember lalu dan dibintangi oleh Ratu Sofya, Slamet Rahardjo, Kiesha Alvaro, Ariyo Wahab, Nayla Denny Purnama, Rizky Fachrel dan Astri Nurdin.
Baca juga: